Latar Belakang

Sejarah Penubuhan

Parlimen pada Bulan November 2009 telah didedahkan bahawa terdapat 84,376 daripada 108,528 tertuduh adalah tidak diwakili peguam dalam kes jenayah di mahkamah majistret dalam tahun 2008.

Hal Ini kerana terdapat sebilangan besar tertuduh adalah tidak menerima bantuan undang-undang daripada dua penyedia utama bantuan guaman di Malaysia - Jabatan Bantuan Guaman dan Program Bantuan Guaman Majlis Peguam.  

Jabatan Bantuan Guaman yang telah wujud sejak tahun 1970-an adalah tertakluk di bawah Akta Bantuan Guaman 1971. Akta ini mengehadkan perkhidmatan Jabatan Bantuan Guaman dalam perkara jenayah kepada perwakilan bagi kesalahan di bawah Akta Kesalahan Kecil dan Akta Kanak-kanak serta pengurangan hukuman bagi kesalahan jenayah lain.  

Program Bantuan Guaman Majlis Peguam yang ditubuhkan pada awal tahun 1980-an melakukan pelbagai kerja pembelaan di dalam kes jenayah, akan tetapi program ini dihalang oleh sumber kewangan yang terhad. Kesemua 15 pusat yang dikendalikan oleh Majlis Peguam dibiayai sepenuhnya oleh sumbangan tahunan yang dibuat oleh ahli-ahli Badan Peguam Malaysia sahaja.

Beribu-ribu orang tidak diwakili dalam perbicaraan jenayah kerana perkhidmatan yang ditawarkan Jabatan Bantuan Guaman dan program Bantuan Guaman Majlis Peguam adalah terhad.

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) telah ditubuhkan untuk merapatkan jurang perkhidmatan ini. Cadangan penubuhan YBGK timbul semasa pertemuan antara Perdana Menteri dan ahli-ahli Majlis Peguam pada 7 Jan 2010.

Dalam mesyuarat yang diadakan pada 3 Mac 2010, Jemaah Menteri bersetuju agar YBGK ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Oleh itu, ia telah ditubuhkan pada 25 Januari 2011 dan dilancarkan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib b Tun Abdul Razak pada 25 Feb 2011.

Translate »
X